Jumaat, 7 Oktober 2011

KESULTANAN MELAKA: PELUASAN WILAYAH


I.           SUMBER-SUMBER BAGI MEMBINA SEMULA SEJARAH LAMPAU MELAKA
II           TINGKAT PENCAPAIAN PENGARUH POLITIK DAN PERDAGANGAN
MELAKA DI KEPULAUAN MELAYU DAN KAWASAN SEKITAR.
III         MELAKA SEBAGAI PUSAT DIALOG DAN PERTEMBUNGAN PADA ABAD KE-15 DAN KE-16.


KESULTANAN MELAKA: PELUASAN KAWASAN.

Kesultanan Melaka telah diasaskan oleh Parameswara sekitar 1395-1400. Sebelum itu Melaka hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Ibn Batuta yang mengembara ke rantau ini pada 1343 tidak menyebut tentang Melaka, menandakan Melaka ketika belum muncul sebagai tempat persinggahan perkapalan yang penting. Walau bagaimanapun kewujudan Melaka sudah tercatit dalam sebuah sajak Jawa yang dikarang pada 1324 dan Melaka juga tercatat sebagai sebuah kawasan naungan Siam pada tahun 1360. Dapatlah dianggap bahawa Melaka semakin meningkat penting menjelang tahun 1400 kerana tempat itu mendapat perhatian Parameswara apabila beliau terusir dari Tumasik (Singapura) oleh kekuatan kuasa Siam. Kedatangan Parameswara ke Melaka memulakan pertumbuhan gemilang Melaka sebagai pusat kerajaan kesultanan Melayu dan pelabuhan entreport selama kira-kira 110 tahun, iaitu sehingga Melaka dikuasai oleh Portugis pada 1511. Dalam tempoh itu Melaka muncul sebagai pusat kerajaan yang mempunyai kawasan taklukan yang meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) dan di pantai timur Sumatra. Peluasan kawasan takluk membolehkan kerajaan kesultanan Melaka meningkatkan keupayaannya dari segi sumber barangan perdagangan, tenaga kerja dan jaminan keselamatannya. Sebaliknya, kekuatan yang terbina oleh kesultanan Melaka meningkatkan keupayaannya mewujudkan struktur, sistem dan institusi kerajaan, ekonomi dan sosial yang baik, berfungsi dan berkesan sehingga menjadikan Melaka sebagai pentas dialog dan pusat pertembungan yang penting terutamanya pada abad ke-15 dan berterusan albeit beberapa perubahan dan kelainan ketika Melaka dikuasai Portugis pada abad ke-16. Pencapaian baik Melaka dicatatkan oleh Duarte Barbosa (pencatat Portugis), sebagai

“the richest trading port and possesses the most valuable merchandise and the most numerous shipping and extensive traffic that is known in all the world”

Tome Pires di dalam Suma Oriental menyebut Melaka sebagai

“a city that was made for merchandise” [A. Cortessao (tr.), The Suma Oriental of Tome Pires, Hakluyt Society Londom, 1944]


Paul Wheatley merumuskan, zaman kesultanan Melaka sebagai:

“a century of Melaka, the golden age in the Malay history full of achievements and heroic deeds” [P. Wheatley, Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times, Eastern University Press, Singapore, 1964: 141-147].


Sejarah Melayu merakamkan:

“Adapun zaman itu negeri Melaka terlalu sekali ramainya, segala dagang pun berkampung. Maka dari Air Leleh datang ke Kuala Muar pasar tiada berkeputusan lagi, dari Kampong Kling datang ke Kuala Penajeh itupun tiada berkeputusan. Jika orang dari Melaka datang ke Jugra tiada membawa api lagi, barang dimana berhenti di sana adalah rumah orang. Dari sebelah sini hingga datang ke Batu Pahat demikian juga, kerana masa itu rakyat Melaka sembilan belas laksa banyaknya yang di dalam negeri juga”.  [W.G. Shellabear (peny.), Sejarah Melayu, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hal. 183].

Hikayat Hang Tuah memerikan kebesaran Melaka seperti berikut:

“Maka negeri Melaka pun sentosalah, sejok seperti ayer di dalam tanam. Maka segala negeri pada Tanah Melayu itu pun sekaliannya memberi ufti ke Melaka. Maka segala dagang santeri pun banyak datang ke Melaka itu,…”  [Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, DBP, KL., 1968, hal. 395].

[Mohd Taib Osman menyarankan, kaedah penelitian kepada pemerian-pemerian yang begitu mengagungkan Melaka dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, harus dinilaikan dari segi participant’s model dan bukannya dari sudut observer’s view. Ia harus didalami dari sudut-sudut tersurat dan tersirat. (Mohd Taib Osman, “Mythic Elements in Malay Historiography” paper no. 102, IAHA, Kuala Lumpur, 1968, hal. 2-14. Juga Zainal Abidin A. Wahid, “Sejarah Melayu”, Asian Studies, vol. IV, no. 3, December 1966, hal. 445-451)].

Yahaya Abu Bakar melalui kajian beliau terhadap beberapa dokumen asing telah memberi bukti bahawa kegemilangan Melaka memang tersebar luas sejak akhir abad ke-15. Hasil kajian itu dirakamkan di dalam penulisan berjudul “Foreign Documents and the Descriptions of Melaka between A.D. 1505-1511” yang sempena projek UNESCO’s Silk Route Maritime Expedition, Melaka, 5 Januari 1991.

Nama dan kepentingan Melaka terjelma di dalam:

(i)    sumber-sumber China seperti Buku Dinasti Ming Jilid 325, seawal-awal tahun 1403 yang memuatkan diantaranya warkah yang diutus oleh Laksamana Hang Tuah bertarikh 11 April 1480 dan 1481 Masehi. [disebutkan dalam warkah itu tindakan “Lo-his-ma-na menyiasat mengenai kebencanaan kapal Ryukyu di utara Annam dengan menghantar utusan ke sana. Hasil siasatan dimaklumkan dalam warkah ini kepada pemerintah Ryukyu. Laksamana memohon sebilah pedang, pelana kuda dan sejenis alat `pengimbang’ panah. (Lihat, Dokumen no. 10, A. Kobata & M. Matsuda, Ryukyuan Relations with Korea and South Sea Countries, Kawakita Printing Kyoto, Japan, 1969, pp. 119-120, 120-121)
Sumber China juga melaporkan, seorang diplomat bergelar Tuan Hadji diutuskan oleh
Melaka
ke China pada sekitar tahun 1509 Masehi.
Malah tercatat keterangan penghantaran perutusan dari Ryukyu ke Melaka pada 2hb.
September 1509. Perutusan ini diketuai oleh Kamadu, jurubahawa Ko Ken berserta 150
kelasi dan anak kapal

(ii)  sumber Siam (Palatine Law) juga menyebut berkenaan Melaka.

(iii) deskripsi oleh Ahmad Ibn Majid, pelayar agung Arab di penghujung abad ke XV Masehi.

(iv) sumber Portugis:
a.      Selewat-lewat tahun 1498 Masehi, berita mengenai Melaka di ketahui di Portugal. Maklumat ini terkandung dalam laporan yang disunting di dalam tulisan Neves Aguas,  Roteiro Da Primeira Viagem De Vasco, Publicacoes Europa-America, Limitada, Portugal, 1978(?)]. Melaka digambarkan sebagai pelabuhan yang penting memperniagakan bahan-bahan seperti timah, rempah ratus, sutera dan ceramik. Melaka terletak di lokasi empat puluh hari pelayaran dari Calecut jika angin baik. Melaka memiliki 10,000 perajurit, 200 tentera berkuda dan selebihnya tentera berjalan kaki. Di Melaka terdapat cengkeh yang harganya sembilan cruzados bagi setiap bahara, juga pala yang berharga sembilan cruzados sebahara. Dari timah dicipta mata wang berbentuk besar tetapi rendah nilainya, iaitu 3 farazalas = 1 cruzado. Terdapat juga di Melaka banyak burung kakak tua kesemuanya merah dan bersinar-sinar.
Dicatatkan di dalam laporan itu, raja Melaka sebagai beragama Kristian, iaitu satu kenyataan yang jika disengajakan tentulah dengan motif tertentu. Walau bagaimanapun kenyataan itu dibuktikan sebaliknya oleh Commentaries, Suma Oriental dan lain-lain yang mengakui kedudukan Islam di Melaka, di mana Al-Quran dan para ulama dipandang tinggi.
b.     Kegemilangan Melaka semakin jelas di Portugal sehingga Raja Portugal mengeluarkan
arahan (regimento) bertarikh 5hb. Mac 1505 kepada Almeida, wizurai pertama
Portugis di India untuk “mencari Melaka”.  Raja Portugal (King Manuel)
mengeluarkan satu lagi regimento pada 6hb. April 1506 meminta supaya
keterangan yang lebih terperinci tentang Melaka. Minat Portugis terhadap
Melaka semakin nyata sesudah diplomat Itali, Vincenzo Quirini
memperihalkan kemakmuran Melaka dan menyebutkan bahwa emas banyak
terdapat di sana. Hasil dari regimento 6hb. April 1506, wizurai Almeida (di
India) memaklumkan kepada rajanya tentang pedagang-pedagang Islam yang
membawa rempah ratus dari Melaka untuk diperdagangkan ke Eropah melalui
Venice. Menurut pandangan
Almeida, Portugis akan kerugian besar sekiranya sekatan tidak dikenakan
kepada kegiatan para pedagang Islam itu.
c.      Dari koleksi “MacGregor Papers (tersimpan di National University of Singapore),
ditemui surat-surat milik Antonio de Saldanha bertarikh sejak 1506-1507
Masehi memerihalkan tentang kekayaan emas yang diperdagangkan di
Melaka. Selain itu ada khabar kononnya di antara Melaka dengan China
terdapat sebuah negara yang penganut-penganutnya adalah Kristian.
d.     Varthema yang mengunjungi Melaka (1506 Masehi) menyebut bahawa ia percaya
di Melaka lebih banyak kapal berlabuh dari mana-mana tempat lain di dunia.
sini juga menurutnya kepelbagaian barangan terutamanya sutera dan rempah ratus diperdagangkan.
e.      Aroujo yang menulis dari Melaka pada 6 Februari 1510 menyebut, setiap hari
terdapat antara 90 hingga 100 funcos kecil dan besar berserta 150 praos berlabuh di Melaka. Diketahui menurutnya, bahawa lebih kurang 30 jong dan perahu-perahu lain dimiliki oleh raja, pembesar dan pedagang-pedagang tempatan.

Malah sehingga abad ke-17, kedudukan Melaka masih baik seperti digambarkan oleh catatan Francois Valentijn (pencatat Belanda) yang mengatakan masih banyak kapal yang datang ke Selat Melaka terutamanya dari Benggala, Coromandel, Surat, Parsi, Ceylon, Jawa, Sumatra, Siam, Tonkin dan China.


I.         SUMBER-SUMBER BAGI MEMBINA SEMULA SEJARAH LAMPAU MELAKA.

Sejarah kegemilangan Melaka dicatatkan oleh rekod-rekod China dan sumber sejarah Barat, Arab dan Melayu. Malah bukti-bukti kegemilangan Melaka itu dapat diteliti dari unsur-unsur politik, sosial dan perundangan Melayu tradisional yang menerima peradapan pesaka kesultanan Melaka.

a. Sumber Barat terutamanya Portugis dihasilkan oleh Tome Pires (berjudul The Suma Oriental), Alfonso de Alburquerque (diberi judul The Commentaries of the Great Alfonso D’alboquerque, Second Viceroy of India, yang diselanggarakan penerbitannya oleh Walter de Gray Birch),  De Eredia, Joao de Barros (yang menghasilkan siri pertama dari empat buku penulisannya tentang sejarah Asia pada tahun 1552.  Usaha de Barros diteruskan oleh Diogo de Couto yang mengkaji sejarah Asia sehingga akhir abad ke-16. Karya de Barros kemudiannya diselenggarakan oleh H. Cicades & M. Murais dan diterbitkan pada 1945-6 dalam Asia de Joao de Barros  -  juga terkarang dalam empat jilid), Fernao Lopes de Castanheda (sezaman dengan de Barros), de Diogo de Couto, Duarte Barbosa; dan de Correa (yang tercatat dalam Lendas da India).

Sumber Barat/Portugis itu di hasilkan setelah kesultanan Melaka tidak lagi berkuasa di Melaka. Oleh itu sumber-sumber itu tidaklah benar-benar bersifat kontemporari dan catatan-catatan berkenaan kesultanan Melaka di dalam sumber-sumber itu adalah dari keterangan-keterangan lisan, tulisan-tulisan pencatat lebih awal dan juga bukti-bukti tinggalan sejarah kesultanan itu. Contohnya, surat-surat Alfonso de Alboquerque (panglima Portugis yang menakluk Melaka) yang dihantar kepada Raja Manuel mengandungi catatan tentang Melaka, menjadi sumber kepada penulisan anaknya, Bras de Albuquerque (1557) .

Sumber-sumber itu telah dirujuk oleh para pengkaji sejarah Melaka seperti Ian MacGregor (yang pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada 1950-an, tetapi meninggal dunia di Afrika sebelum berusia 30 tahun) yang memberi tumpuan kepada zaman Portugis di Melaka; C.R. Boxer, C.H. Wake, Diane Lewis, O.W. Wolters, Andaya dan lain-lain lagi. C.H. Wake  merujuk sumber-sumber ini bagi menghasilkan karya “Malacca’s Early Kings and the Reception of Islam” (terbit dalam Journal of Southeast Asian History, vol. 5, part 2, 1964) dan “Melaka in the fifteenth century: Malay Historical Traditions and the Politics of Islamization” (dimuatkan dalam Melaka: The Transformation of a Malay Capital, cir 1400-1980, yang disunting oleh Kernial Singh Sandhu & Paul Wheatley, dan diterbitkan oleh Oxford University Press pada 1983). Manakala Diane Lewis menggunakan sumber-sumber itu bagi menulis “The Dutch East India Company and the Straits of Malacca, 1700-1784”.

b.  Sumber China.

Hubungan China-Melaka terjalin sejak awal kebangkitan kesultanan Melaka. Kajian Professor Wang Gungwu ke atas sumber China menghasilkan bukti bahawa pada 1403 Maharaja Yung-lo telah “...sent the eunuch Yin Ch’ing and others with imperial messages to the kingdom of Malacca and Cochin and also with gifts...”. Sumber China (rekod-rekod dinasti Ming) berkaitan Melaka walau bagaimanapun terhad kepada tiga dekad pertama abad ke-15. Selepas kematian Maharaja Hsuan-te, China tidak berminat lagi untuk berhubung dengan negeri-negeri Asia Tenggara, maka catatan China tentang Melaka juga tamat. Namun demikian, sepanjang hubungan yang terjalin antara China dengan Melaka, beberapa lagi perutusan China dihantar ke Melaka termasuk perutusan Laksamana Cheng-ho. Melaka juga menghantar perutusan di samping kunjungan berturutan tiga orang raja Melaka ke China. Hubungan yang rapat itu ditandai dengan baik oleh puteri Hang Li-po dengan raja Melaka.
Sumber-sumber China berkaitan dengan Kepulauan Melayu (termasuk Melaka) telah mula dikaji pada oleh Rockhill yang menerbitkan hasil kajiannya terhadap sumber China di dalam Toung Pau. Usaha Rockhill diikuti oleh Willem P. Groeneveldt yang menulis sekurang-kurangnya tiga rencana (pertalian kegiatan perdagangan China dengan Gugusan Kepulauan Melayu. Sebuah daripada rencana itu berjudul “Notes on the Malay Archipelago and Malacca, compiled from Chinese Sources” diterbitkan dalam VBG (Venhandelingen van het Bataviaasch Genootschap van Kunsten en Wetenschappen”, vol. 39, Batavia 1880  [diterbit semula dengan judul “Historical Notes on Indonesia and Malaya, compiled from Chinese Sources” oleh C.V. Bhratara, Jakarta, pada tahun 1960]. Antara sumber yang dirujuk oleh Groeneveldt ialah (I) The Twenty-four Historians yang juga dikenali sebagai Sejarah Dinasti (the Dynastic Histories) yang terdiri dari kira-kira 900 jilid besar. (II) Ying-yai Sheng-lan (General Account of the shores of the Ocean) yang diterbitkan pada 1416 oleh Ma Huan. Di dalam prakata bukunya, Ma Huan menyebut bahawa beliau dihantar bersama Laksamana Cheng Ho mengunjungi negara luar pada 1413 kerana Ma Huan boleh menterjemah buku asing. Di dalam prakata kedua (yang ditulis oleh seorang sahabat Ma Huan) disebutkan bahawa Ma Huan ialah seorang Muslim dan tahu bahasa Arab. (III) Hsing-ch’a Sheng-lan (General Account of Peregrinations at Sea) diterbitkan pada 1436 oleh Fei Hsin yang berasal dari Hang-chou dan bekerja dengan kerajaan. Selama 20 tahun perkhidmatannya Fei Hsin dihantar sebanyak empat kali menyertai pelayaran angkatan Cheng Ho. (IV) Hai Yu (Words about the Sea) oleh Hwang Chung yang diterbitkan pada 1537. Seperti digambarkan oleh judul buku ini “Words...” maka kebanyakan catatan itu merupakan hasil khabar atau cerita yang disampaikan oleh para pedagang yang pernah mengunjungi tempat-tempat di Kepulauan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana ketika ini kerajaan China menutup hubungan dengan Kepulauan Melayu. (V) Tung Hsi Yang K’au (Researches on the Eastern and Western Ocean) diterbitkan pada 1618 oleh Wang Ch’i-tsung, Penguasa Hasil di Nanking. Buku ini sebenarnya banyak mendapat keterangan dari sumber-sumber yang terdahulu darinya dan lebih menumpukan perhatian kepada deskripsi sejarah dan geografi Semenanjung Tanah Melayu, Filipina dan Farmosa.
Usaha Groeneveldt diteruskan oleh Professor Hsu Yun-tsio, Wang Gungwu dan beberapa lagi  kemudiannya termasuk para pengkaji China sendiri. Wang Gungwu misalnya menghasilkan antaranya rencana berjudul “The Opening of Relations between China and Malacca 1403-1405” (diterbitkan dalam Malayan and Indonesian Studies atas usaha suntingan John Bastin & R. Roolvink, pada tahun 1964).
c.   Sumber Melayu.
Terdapat empat sumber rujukan utama iaitu:
-           Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)
-           Hikayat Hang Tuah
-           Teks Undang-undang Melaka (Hukum Kanun Melaka)
-           Teks Undang-undang Laut Melaka (Undang-undang Pebian Melaka).

Sejarah Melayu.
Buku ini merupakan magnum opus (karya agung) Melayu yang dihasilkan pada 1536. Karya ini merupakan resensi terawal dan pertama  wujud yang memperkatakan secara naratif dan secara berhikayat tentang sejarah sebuah kerajaan/kesultanan Melayu. Buku ini telah kemudiannya ditulis dalam berbagai bahasa seperti bahasa Melayu-Indonesia, Inggeris, Portugis, Belanda, Peranchis, Cina, Tamil, Jepun, Polish dan Rusia - kebanyakannya menjadikan buku ini sebagai bahan penelitian genre linguistik, bukannya penelitian sejarah. Sehingga kini terdapat 29 buah naskah salinan Sejarah Melayu yang terdiri daripada pelbagai versi. Perbezaan antara versi banyak dari segi isi dan kandungan dalam ruang lingkup (skop) ilmu filologi (makna perkataan/bahasa) - misalnya institusi Laksamana: mengikut satu versi, institusi ini wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah (Raja Kecil Besar), manakala versi lain dikatakan institusi itu wujud ketika zaman Sultan Mansur Syah. Berlakunya perbezaan waktu kewujudan institusi ini antara versi Sejarah Melayu berpunca dari inferen perkataan (kata bahasa) yang merujuk kepada institusi tersebut. Contoh lain ialah berhubung dengan perkataan Hang Tuah. Menurut satu versi, Hang Tuah berasal dari Duyung, manakala versi lain mengatakan Hang Tuah berasal dari Bugis atau Sulawesi. Ada pula versi yang tidak menyebut apa-apa tentang asal Hang Tuah.
Versi utama ialah versi Raffles Ms 18 (Manuskrip No. 18, Raffles) yang diselenggara penerbitannya leh R.O. Winstedt. Versi ini dianggap sebagai versi salinan yang lebih tulin daripada versi-versi lain. Versi yang popular ialah Versi tahun 1612 yang diselenggarakan kemudiannya oleh W.G. Shellabear, tetapi dianggap mempunyai kelainan daripada versi Raffles kerana telah “diperbaiki semula” salinannya dari teks awal.
Hikayat Hang Tuah.
Hikayat ini ditulis beberapa abad selepas kejatuhan Melaka. Teks ini merupakan hasil kreatif sejarah yang menghilangkan objektiviti sejarah kerana melibatkan mitos dan legenda - sehingga menjadikannya sebuah teks epik (epik sejarah). Hikayat Hang Tuah menceritakan tentang orang-orang istimewa yang datang dari Pahang, Lingga dan Brunei dan menonjolkan konsep kebal. Tome Pires, Alfonso de Albuquerque, de Barros dan de Eredia menyebut orang-orang itu sebagai The Cabaees.
Teks Undang-undang Melaka.
Teks ini seperti teks Undang-undang Laut mengandungi huraian yang agak komprehensif tentang kehidupan di Melaka pada abad ke-15. Teks Undang-undang Melaka dapat mengambarkan dengan agak jelas tentang kedudukan masyarakat pertanian. Terdapat di dalam Undang-undang itu keterangan berhubung dengan keperluan memagar kerbau, lembu dan kambing supaya peliharaan itu tidak merosakkan tanaman padi dan kebun. Teks itu juga menghuraikan peraturan dan kedudukan (status) hamba yang menunjukkan bahawa para hamba juga mempunyai hak tertentu - tidaklah seperti tanggapan popular yang mengatakan para hamba dilayan atau diiktiraf sebagai harta milik yang boleh diperniagakan.
Teks ini telah diselenggarakan untuk penerbitan pada mulanya oleh Ph. S. von Ronkel dengan judul “Risalat Hoekoem Kanoen, iaitu Oendang-oendang Melaka (dicetak di Leiden pada 1919). Teks ini dihurai dengan kritis oleh Liaw Yock Fang di dalam karyanya yang juga memakai judul “Undang-Undang Melaka”/The Law of Malacca (diterbit di The Hague, pada 1976)

Undang-undang Melaka mempunyai 44 bab dan menghuraikan skop jurisdiksinya ke atas kesemua tanah besar (luas) kepunyaan raja dan wakil raja (pembesar), serta adat yang digunakan ke atas tanah, kawasan dan kampung yang bebas. Undang-undang ini juga menerangkan tentang tanggungjawab pemerintah dan para pembesarnya, larangan-larangan yang dikenakan kepada ahli komuniti, hukuman kepada jenayah dan kesalahan sivil, peratura/hukum keluarga dan lain-lain hal.

Seperti teks Undang-undang Laut Melaka, teks Undang-undang Melaka juga diasaskan kepada adat Temenggong (adat yang mengutamakan nasab bapa atau patriarchal law
Teks Undang-undang Laut (Undang-undang Pebian Melaka).
Teks ini telah diedit oleh R.O. Winstedt dan Josselin de Jong dengan memakai judul “The Maritime Laws of Malacca” yang diterbitkan dalam Journal of Malayan Branch of Royal Asiatic Society (JMBRAS), jilid 29, bahagian 3, tahun 1956. Undang-undang ini menerangkan tentang kuasa nakhoda atau kapten kapal dan hak-hak anak-anak kapal, peraturan-peraturan perkapalan dan perdagangan di laut serta hubungan antara para pedagang.

PERKEMBANGAN EKONOMI KOLONIAL 1874-1900

1.0)            PENGENALAN

Malaysia yang dibincangkan di sini ialah merangkumi Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Kolonialisme atau juga dikenali penjajahan merupakan satu dasar atau amalan oleh sesebuah negara meluaskan penguasaannya ke atas sesebuah negara yang lain.[1] Bagi pendapat J.A Habson pula, Kolonialisme berlaku sekiranya sesuatu bangsa atau negeri mengembangkan kuasa dan pengaruhnya melalui penghijrahan rakyatnya kepada sesuatu kawasan atau jajahan baru di seberang laut yang belum diterokai atau diduduki orang lain.[2]

Hal ini memjelaskan bahawa dasar kolonialisme yang dilakukan British di Malaysia ialah satu dasar untuk mengeksploitasi rakyat dan sumber daya sesuatu bangsa demi kepentingan Negara induk iaitu British.[3] Jika diteliti makna ‘colonialism’ dalam istilah Bahasa Malaysia ianya membawa dua makna iaitu yang pertama ekploitasi dan penindasan tanah jajahan oleh sesebuah kerajaan sama ada barat atau asia yang mempunyai tanah jajahan. Kedua, keadaan kerajaan-kerajaan Melayu lama yang mempunyai tanah jajahan dan daerah-daerah tertakluk kepada rajanya.[4]

2.0)      PERTANIAN

2.1     Tebu dan Kopi

Pada era zaman kolonial di Tanah Melayu penanam tebu dan kopi di Tanah Melayu telah diperkenalkan. Hal ini jelas apabila dari semua tanaman yang diusahakan oleh orang-orang Eropah, hanya tebu dan kopi sahaja yang boleh dikatakan Berjaya.[5] Tebu menjadi industri yang bermodal besar dibawah kuasa Eropah dan nampaknya mempunyai masa depan yang cerah pada masa itu. Usaha orang-orang Cina pada masa awal-awal menanam tebu dan penyertaan penanam-penanam tebu yang berpengalaman dari Mauritius menjamin tanaman ini sebagai usaha komersial. Bagaimanapun, menjelang 1905, penanaman tebu semakin merosok di Seberang Perai dan Perak. Pada tahun 1911, jumlah kawasan yang ditanami tebu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dalam daerah Kerian di Perak hanya 8400 hektar. Dua tahun kemudian di Seberang Perai, kawasan yang ditanami tebu merosok kepada 12.4 hektar. Sebab utama kemerosotan ini, terutama di daerah Kerian, ialah perubahan dasar kerajaan mengenai pertanian. Pada tahun-tahun 1980-an, pihak berkuasa kolonial memutuskan untuk meluaskan penanaman padi sawah dan membiayai rancangan tali air tetapi malangnya kawasan-kawasan yang didapati sesuai bagi rancangan-rancangan itu melibatkan tanah yang telah ditanami tebu. Terdapat sebab lain kemerosotan industri gula, namun pukulan terakhirnya ialah disebabkan keuntungan besar yang didapati dari getah sebagai tananam eksport.

Selepas itu, tanaman kopi berbeza berbanding dari tananm tebu. Pada akhir abad ke-19 dan awal abad kurun ke-20, penanaman kopi terbukti telah menguntungkan. Penanaman kopi secara besar-besaran di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor adalah seluruhnya usaha orang-orang Eropah dengan sebilangan besar mereka yang dulunya peladang-peladang kopi di Ceylon (Sri Lanka). Kopi telah menjadi sebagai tanaman komersial pertama yang boleh hidup dengan baik di kebanyakan tempat di Tanah Melayu. hal ini telah menarik begitu banyak modal pengurusan dan membawa masuk ramai buruh Tamil dan Jawa ke beberapa tempat di Semenanjung. Oleh sebab penanaman kopi memuaskan dan matlamat kerajaan hendak menegakkan perusahaan pertanian Eropah yang stabil secara besar-besaran, maka kerajaan sendiri telah bertindak untuk membantu operasinya. Peladang-peladang kopi telah mendapat syarat-syarat yang baik mengenai pengambilan tanah. Setelah itu kebun-kebun perseorangan telah menjadi syarikat-syarikat besar. Namun menjelang dekad pertama kurun ke-20, ramai peladang eropah meninggalkan kopi untuk menanam getah kerana usaha yang singkat serta waktu yang kurang untuk mendapat hasil. Hal ini getah telah menjadikan industri kopi merosot.[6]

2.2     Getah

            Pokok getah berasal dari Brazil. Sir Henry Wickham berjaya membawa sejumlah biji getah ke England. Biji-biji getah tersebut disemai di Royal Botanical Garden, Kew, London.  Di Singapura, pokok getah ditanam di Botanical Garden. Di Tanah Melayu pula, sebanyak Sembilan batang anak getah mula ditanam oleh Sir Hugh Low ( Residen Perak) di halaman kediamannya di Kuala Kangsar.[7] H.N.Ridley telah mempopularkan penanaman getah sehingga member sumbangan seperti memperkenalkan sistem torehan ibedem atau system tulang herring pada tahun 1897.[8] Beliau turut memperkenalkan cara mengangkut anak benih secara membungkus dalam arang yang lembap dan keghairahan beliau menjalankan kempen “tanaman getah” dalam kalangan peladang kopi, tebu dan gambir menyebabkan beliau digelar “Ridley Gila” atau “Ridley Getah”.[9]

            Pokok getah mula ditanam secara komersial pertama kali pada pertengahan 1890 an di ladang-ladang yang mula-mulanya dibuka untuk tanaman seperti kopi. Para peladang kopi yang mempunyai sumber modal sedia, tenaga pengurusan serta buruh dari India yang dibawa masuk adalah yang mula-mula mencuba menanam getah disebabkan kemerosotan harga kopi.[10] Getah menjadi tanaman yang ideal bagi memenuhi keperluan Eropah dan pada tahun 1897 peraturan tanah khas telah diperkenalkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk menggalakkan penanaman padi.[11] Disebabkan peningkatan permintaan dan harga getah yang tinggi bagi menampung pembuatan tayar banyak syarikat ditubuhkan untuk menanam getah yang ditaja oleh firma-firma besar di Singapura seperti Guthrie dan Harrisons & Crosfield.[12]

2.3     Padi dan Gambir

Masyarakat Melayu pada zaman penjajahan British adalah berasaskan pengeluaran pertanian.[13] Padi merupakan salah satu tanaman yang diusahankan dengan ditanam secara bendang. Tokoh agung Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba pernah mengusahakan tanaman padi dan beberapa jenis tanaman lain ketika beliau masih kecil dan seringkali membantu ayahnya menanam padi.[14]

Zaman kolonialisme adalah zaman berlakunya eksploitasi kekayaan, penindasan[15] bagi golongan yang terjajah dan konsep kebebasannya adalah dalam konteks pada orang putih atau 'white man' sahaja. Pengeksploitasian ekonomi terutamanya dalam perusahaan padi khususnya hanya menguntungkan pihak kolonial manakala masyarakat setempat pula terus ditindas dan terus berada ditakuk lama. Malah dengan penguasaan pihak British pada zaman kolonial menyebabkan orang-orang tempatan hilang kekuasaan seterusnya makin terhapus. Hal ini disebabkan oleh dasar yang dilakukan oleh British yang membawa masauk orang Cina dan India untuk penanaman getah serta lombong bijih timah. Pada asasnya, padi pada zaman kolonial adalah untuk membekalkan  makanan kepada penduduk tempatan.[16] Namun begitu padi juga amat penting bagi British kerana bagi merupakan makanan pekerja-pekerjanya. Pada peringkat awal penjajahan British di Negeri Melayu,  beras dimport dari Siam[17] untuk menampung bekalan makanan yang tidak mencukupi di Semenanjung Tanah Melayu yang mengalami jumlah peningkatan penduduk.[18]

British juga telah memperkenalkan Jabatan Parit dan Tali Air yang sehingga kini wujud dikenali juga Jabatan Pengairan dan Saliran. Hal ini bagi memudahkan pengurusan penanaman padi. Selain itu gambir dan cengkih juga turut diperkenalkan pada zaman kolonial. Pengeluaran pertanian secara ladang yang pertama di Malaya ialah ladang rempah­ ratus dan gambir. Tanaman lain pula termasuklah tebu (di Seberang Prai pada tahun 1850-an), ubi kayu, kelapa dan kopi. Berdasarkan analisis yang dibuat, British hanyalah ‘menggunakan’ orang Melayu untuk kepentingan mereka sendiri supaya orang Melayu tidak berkembang pemikiran mereka dengan membuat dasar pecah perintah seperti orang Melayu mengusahakan padi di kawasan pedalaman.

3.0)      PERLOMBONGAN

3.1     Bijih Timah

Perlombongan bijih timah sudah dijalankan oleh orang-orang Melayu sekian lama.[19] Kemasukan British juga disebabkan oleh bijih timah. Perkembangan perlombongan bijih timah ini dapat dilihat apabila pembesar tempatan  membawa masuk buruh cina[20] dan kira-kira 80,000 orang cina di perak sebagai buruh ikatan.[21] Kemasukan ini hasil daripada permintaan yang banyak kesan daripada Revolusi Perusahaan di British dan Amerika. Bijih timah digunakan dalam perusahaan membuat tin, motokar, wayar, dan kereta api. Industri ini berkembang dengan kemasukan buruh daripada cina ini. Perkembangan industri ini secara besar-besaran iaitu selepas penemuan longgokan bijih timah yang banyak di Larut, Perak iaitu pada tahun 1848 dan di Kinta pada tahun 1880. Dalam pertengahan pertama abad ke 19, pelombong cina memperkenalkan pembaharuan dalam teknik perlombongan seperti pam  rantai bagi mengeringkan lombong-lombong yang bertakung. Disebabkan oleh penemuan  longgokan timah yang banyak, pelombong ini telah memajukan perusahaan bijih timah mengikut Barat.[22] Pelombong cina juga memperkenalkan sistem lombong yang lebih baik seperti sistem lombong dedah, pam  kelikir, dan palung. Pada 1877, Enjin wap dan pam emper diperkenalkan di Perak  bagi mengatasi masalah banjir di kawasan perlombongan dan dapat mendalamkan lagi aktiviti melombong. Teknik Hidraulik dan pam kelikir adalah kaedah yang dibawa dari Australia dan diterima oleh pelombong Cina pada tahun 1898.[23] Kemajuan buruh cina ini telah membawa masuk pemodal-pemodal British dari negeri-negeri Selat yang menyokong perlombongan.[24] Pada akhir kurun ke-19 orang cina menguasai kegiatan melombong bijih timah dan antara tahun 1898-1905 Tanah Melayu menjadi pengeluar utama bijih timah.

3.2     Emas

Perlombongan emas sudah mula dijalankan oleh orang cina pada tahun 1880 di Sungai Segama.[25] Emas juga didapati di sepanjang tebing Sungai Sarawak dan tempat ini telah menarik pelombong cina kerana lombong Sambas tidak lagi mendatangkan hasil.[26] Emas tidak begitu banyak ditemui dengan perlombongan yang tidak teratur. Pada tahun 1890 an, Syarikat Borneo memperkenalkan alat-alat melombong yang moden dan telah membuka lombong sendiri di Bau dua tahun kemudian. Pada tahun ini juga emas dilombong secara komersial di Raub, Pahang yang diusahakan oleh Syarikat dari Australia. Keadaan ini telah memberi peluang kepada industri perlombongan emas dan memcapai kemuncaknya selepas 20 tahun berikutnya.[27]

3.3     Arang Batu

Perlombongan arang batu menjadi bahan galian eksport yang utama bagi negeri Sarawak selama sepuluh tahun selepas tahun 1889 apabila kerajaan akhirnya berjaya mengusahakan lombong arang batu di Sadong.[28] Arang batu juga dilombong di Tawau, Sandakan, dan Labuan. Galian ini amat diperlukan untuk kegunaan kapal-kapal wap pada ketika itu.[29] Arang batu menjadi galian eksport bahan mineral yang penting pada penghujung kurun ke-19 dan kemudiannya merosot setelah pertumbuhan  industri getah dan kayu balak.[30]

3.4     Antimoni

            Bahan galian antimoni dicatatkan hanya ditemui di Sarawak. Di Sarawak, Raja Charles beliau membenarkan Syarikat Borneo menjalankan operasi di Sarawak dalam bidang pertanian dan perlombongan.[31] Perlombongan antimoni pertama dibuka di Sarawak ialah di kawasan Bau iaitu empat tahun selepas Singapura menjadi pelabuhan entreport yang baharu bagi pasaran antimoni pada tahun 1819.[32] Longgokan antimoni terdapat di Sungai Sarawak dan diusahakan oleh orang-orang melayu dan cina secara primitif. Pada tahun 1840 an, Syarikat Borneo telah menubuhkan sebuah kilang melebur di Kuching dan sebuah lagi di berhampiran Bua pada tahun 1860 an.[33] Permintaan antimoni di pasaran Singapura menyebabkan bahan itu menjadi bahan eksport utama Sarawak dan menjadi hasil pendapatan utama untuk negeri selama 40 tahun. Selepas tahun 1885, jumlah keluaran dan kepentingannya mulai merosot .

4.0)      KESAN
4.1     Kesan kepada orang melayu
Kesan daripada dasar yang diamalkan oleh British telah menjadi satu titik tolak kepada perkembangan sistem ekonomi di Tanah Melayu pada abad ke-19. Pada masa yang sama, kemasukan imigran menjadi salah satu faktor utama kepada berlakunya perubahan sosial dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana British telah mengamalkan “pecah dan perintah” (Divide and Rule) bagi memudahkan pentadbiran mereka di Tanah Melayu. Pecah dan perintah adalah satu kaedah imperialisme penjajah Eropah yang digunakan di tanah jajahan untuk melemahkan bumiputera dan memberikan keutamaan kepada kaum imigran dan sekaligus memisahkan mereka daripada penduduk bumiputera.[34] Di samping itu, golongan imigran dibiarkan mengekalkan identiti dan budaya masing-masing dan tidak digalakkan berhubung secara langsung dengan kaum bumiputera.[35]

Kedudukan ekonomi masyarakat tempatan terancam akibat daripada kedatangan imigran Cina dan India. Dasar utama British dalam ekonomi telah merugikan masyarakat tempatan malahan tidak memberi sebarang kemajuan kepada penduduk bumiputera. Kebanyakan dasar yang telah dilaksanakan British dalam bidang pertanian, pemilikan tanah, dan pelajaran dilihat tidak mengutamakan kepentingan penduduk bumiputera.[36] Keadaan ini  telah memberi kelebihan kepada imigran untuk menguasai punca-punca ekonomi di Tanah Melayu dan telah mengekalkan orang Melayu sebagai petani sara diri dalam sistem ekonomi kuno dan menghalang orang Melayu daripada terlibat dalam sistem ekonomi moden.[37] Orang Melayu disisihkan dari corak kegiatan ekonomi komersil yang diwujudkan walaupun tidak ditindas secara kekerasan seperti yang dilakukan penjajah oleh Belanda di Indonesia ataupun penjajah Sepanyol di Filipina namun mereka tetap mahu dikekalkan dengan cara hidup tradisi mereka iaitu menjadi petani sara diri atau nelayan miskin.[38]

4.2     Kesan kepada orang cina dan india

Di samping itu, melalui penjajahan British yang secara tidak langsung telah menyebabkan petempatan setiap kaum dibahagikan dan dipisahkan mengikut kegiatan ekonomi masing-masing. Sebagai contoh, orang Melayu terlibat dalam bidang pertanian dan kegiatan penangkapan ikan, orang Cina pula mendominasi kegiatan perlombongan dan perdagangan, manakala orang India mengusahakan ladang getah dan perusahaan lain seperti pertanian lada hitam, kopi dan gambir. Buktinya, berdasarkan tinjauan taburan penduduk, didapati bahawa golongan Cina lebih tertumpu di kawasan bandar yang berkembang melalui kegiatan perlombongan utama seperti Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Keadaan ini telah menyebabkan munculnya kawasan yang padat dengan penduduk di Lembah Kinta dan Larut, Perak dan Kuala Lumpur, Ampang dan Kelang di Selangor serta Sungai Ujong di Negeri Sembilan.[39] Pekerja-pekerja buruh yang diambil untuk mengusahakan pengeluaran getah dan bijih timah di tanah Melayu, ladang-ladang getah diusahakan oleh pekerja-pekerja India sementara lombong-lombong pula diusahakan oleh orang Cina. Pekerja-pekerja yang diambil dalam penanaman getah mempunyai bilangan yang besar daripada pekerja-pekerja yang diambil dikawasan perlombongan iaitu dianggarkan sebanyak 600.000 orang.[40]

            Berdasarkan “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh pihak British dalam sistem pentadbiran yang dikuasai oleh  mereka. Interaksi antara imigran dan penduduk tempatan sengaja dibiarkan tanpa haluan agar tidak wujud semangat perpaduan di antara mereka. Justeru dapat dinyatakan bahawa, kolonialisme telah berlaku secara mutlak kesan daripada tindakan dan pendekatan yang telah digunakan oleh British.

5.0)      KESIMPULAN

            Sistem ekonomi kolonial yang diperkenalkan British di Malaysia pada kurun ke-19 telah memberi kesan kepada Malaysia apabila berlaku perubahan dari segi politik, sosial, dan ekonomi. Jika dilihat dasar penjajahan atau peluasan kuasa british di Malaysia secara tidak langsung telah mempertingkatkan sektor ekonomi khususnya. Pelbagai industri baru diperkenalkan seperti industri bijih timah dan industri getah. Ekoran daripada ini juga, pada abad ke-20 turut berkembangnya industri pertanian, perlombongan dan perdagangan.
MASYARAKAT KOLONIAL PEMBINAAN & PERKEMBANGAN. so prof adnan no 9

1.0      PENGENALAN



Rentetan daripada penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali kepada Inggeris semula telah menunjukkan bertapa lamanya penjajahan British di Tanah Melayu. Hal ini demikian kerana penjajahan telah berlaku di Tanah Melayu lebih 400 tahun dan kemuncaknya adalah sehingga tercetusnya idea bagi menuntut kemerdekaan. Perluasan kuasa British secara rasmi berlaku di Tanah Melayu apabila telah termentrainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 di Perak.

            Sebelum “Perjanjian Pangkor 1874” dimentrai, British telah menduduki Tanah Melayu dan menjalankan penjajahan secara tidak langsung dalam pelbagai aspek terutamanya ekonomi, sosial dan politik. Hal ini dapat dibuktikan melalui “Perjanjian London 1824” yang menunjukkan adanya pembahagian wilayah kekuasaan di antara British dan Belanda ketika itu. Jelaslah telah berlakunya campur tangan British di Tanah Melayu, terutamanya di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Namun begitu, dari semasa ke semasa British cuba untuk mencampuri dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Oleh hal yang demikian telah berlangsungnya “Perjanjian Pangkor 1874” dimana ia menjadi titik tolak dalam campurtangan British secara langsung. Bahkan keadaan ini telah menyebabkan penguasaan British bukan sahaja di negeri Perak malah di negeri-negeri lain juga, sebagai contoh Pahang, Selangor dan Johor.

                        Merujuk kepada fokus perbincangan iaitu masyarakat kolonial pembinaan dan perkembangan. Kolonialisme boleh dikaitkan dengan imperialisme Barat dengan merujuk kepada dasar-dasar yang dijalankan di tanah jajahannya.[1] Terdapat pelbagai takrifan mengenai kolonial ini, terdapat beberapa orang sarjana Barat yang cuba menakrifkan maksud kolonial, antaranya ialah Nadel dan Curtis meberi takrifan seperti berikut:



“ Bagi sebahagian orang, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti dilihat daripada kaca mata penting penjajah; malahan, semua kolonialisme di ertikan sebagai perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme beerti kolonialisme, dan ini tidak dapat dinafikan. Tetapi kolonialisme kini secara amnya digunakan sebagai seerti dengan penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi “



Oleh hal yang demikian, jelaslah konsep kolonial itu merujuk kepada penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi dan dengan kedatangan British inilah menyebabkan pembinaan dan perkembangan pengaruh kolonial dalam masyarakat Melayu seterusnya pertapakan zaman kolonial di negeri-negeri melayu berasaskan titik tolak Perjanjian Pangkor 1874 secara rasminya bermula di negeri Perak dan seterusnya di negeri-negeri lain.



2.0   PEMBINAAN MASYARAKAT KOLONIAL
Pembinaan Masyarakat Kolonial
Tahun 1800 hingga 1900 merupakan titik tolak penting dalam sejarah Negeri-negeri Melayu. Dalam lingkungan tempoh masa ini, Negeri-negeri Melayu bukan sahaja mengalami transformasi politik bahkan transformasi sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu. Kedatangan imigran Cina dan India di Negeri-negeri Melayu telah bermula sejak zaman kegemilangan Melayu Melaka lagi. Kedatangan mereka pada waktu itu sekadar datang untuk berdagang dalam jangka waktu yang singkat sahaja dan mereka tidak bercadang untuk menetap di Negeri-negeri Melayu dalam tempoh yang lama. Pihak British telah berjaya mewujudkan persekitaran yang dapat  menarik minat pihak luar untuk datang ke Negeri-negeri Melayu. Keadaan  ini didorong  oleh perkembangan yang pesat yang berlaku dalam bidang ekonomi, terutamanya perusahaan bijih timah.  Getah yang mula diusahakan secara komersial memerlukan tenaga kerja. Keperluan tenaga buruh yang semakin mendesak telah mendorong pihak British mengamalkan dasar yang menggalakkan kemasukan penghijrahan dari luar untuk bekerja dalam sektor ekonomi tersebut. Selepas “Perjanjian British-Belanda 1824”, kedudukan British di Negeri-negeri Melayu semakin kuat. Ekoran dari permintaan bahan mentah untuk industri, Barat mencari pasaran baru untuk barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburannya. British telah mengeksploitasi semua kelebihan yang terdapat di Negeri-negeri Melayu dan bertindak membawa masuk imigran Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu untuk menampung kekurangan jumlah tenaga kerja bagi keperluan penjanaan ekonomi yang ingin dimanipulasi dan dimonopoli.[2]

            Walau bagaimanapun, penghijrahan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana masyarakat di sekitar kepulauan Melayu telahpun berhijrah lebih awal dari itu, tetapi proses penghijrahan ini dilakukan secara besar-besaran dalam tempoh masa yang singkat. Orang Melayu  kebanyakannya berasal daripada,Sumatra,jawa dan juga kepulauan melayu. Peradaban bangsa Melayu terjadi akibat pertemuan beberapa bangsa di alam Kepulauan Melayu ini sehingga terbentuk satu identiti yang tetap. Daripada pertemuan ini bangsa Melayu tercipta dan mempunyai fokusnya di Negeri-negeri Melayu. Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu.[3]

            Penjajahan British telah memulakan satu era baharu dalam mencorakkan pentadbiran British di Negeri-negeri Melayu. Pembangunan dan kepesatan ekonomi Negeri-negeri Melayu telah menggalakkan kedatangan buruh-buruh asing untuk bekerja di kawasan perlombongan bijih timah, estet-estet getah dan kawasan pertanian ladang. Keadaan ekonomi yang sedang pesat membangun melalui perusahaan getah dan bijih timah telah membuka banyak peluang pekerjaan. British menggalakkan kedatangan imigran Cina ke Negeri-negeri Melayu kerana berpendapat orang Cina mempunyai semangat kerja yang kuat, berdaya usaha dan bersifat keusahawanan.[4] Politik di Negeri-negeri Melayu juga berada dalam keadaan stabil di bawah penjajah British, dan ini telah menarik lebih ramai golongan pemodal dan imigran asing datang ke Negeri-negeri Melayu. Kedatangan Buruh Cina dari China secara besar-besaran bermula sejak awal abad ke-19 yang kebanyakkan berasal dari wilayah selatan China seperti Kwangtung, Kwangsi dan Fukien.[5]  Perkara yang jelas dapat dilihat dalam perkembangan penempatan Cina di Negeri-negeri Melayu ialah hubungannya dengan British.

Dikatakan, dimana sahaja bendera British berkibar di sana ramai orang Cina bernaung.[6] Kedatangan buruh ini ke Negeri-negeri  Melayu adalah melalui beberapa cara seperti sistem tiket kredit, sistem pengambilan kakitangan, dan sistem pengambilan rumah kongsi. Ramai dikalangan imigran Cina telah datang ke Tanah Melayu melalui sistem tiket Kredit. Imigran Cina yang ingin datang ke Negeri-negeri Melayu akan dikumpulkan oleh Kheh-thau (Ketua), orang yang bertanggunjawab mengumpulkan masyarakat tempatan di China sebelum dibawa ke Pelabuhan. Kheh-thau ini akan dibayar sejumlah wang bagi setiap imigran China yang dibawa oleh mereka. Imigran yang datang ini dipanggil Sin Kheh dan diletakkan dibawah pengawasan nahkoda kapal atau agensi buruh yang biasanya telah menerima bayaran daripada bakal majikan imigran berkenaan. Imigran yang datang dengan cara ini terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi satu tempoh masa sehinggalah hutang tambang mereka dijelaskan. Selepas itu mereka bebas berkhidmat dengan sesiapa sahaja yang mereka suka. Mereka akan dibekalkan dengan tiket yang menunjukkan pelabuhan yang mereka akan tuju serta keterangan sama ada mereka bebas atau berhutang. Kedatangan imigran Cina ke Negeri-negeri Melayu juga adalah kesan permasalahan yang timbul di negara asal mereka dari segi sosial, ekonomi dan politik[7].

            Kedatangan imigran dari India juga merupakan kesan disebabkan kependudukan British di Negeri-negeri Melayu. Namun, kedatangan mereka ke Negeri-negeri Melayu agak lewat berbanding imigran Cina. Pada peringkat awal penjajahan British di Tanah Melayu, kerajaan India tidak menggalakan rakyat mereka berhijrah keluar dari negara India. Tetapi selepas perjanjian Inggeris-Belanda, ramai banduan dari India yang dibawa dan ditempatkan di Sumatera ke Negeri-negeri Selat. Banduan-banduan ini digunakan sebagai buruh untuk membina bangunan, jalan raya, landasan kereta api dan jambatan. Selain itu juga, terdapat satu kumpulan lagi imigran India yang terdiri daripada buruh kuli kontrak untuk bekerja di ladang tebu, kopi dan kemudiannya getah. Penghijrahan beramai-ramai imigran India dari Madras dan Negapatam ke Negeri-negeri Melayu bermula pada tahun 1840-an.[8] Pada mulanya buruh dari India ini diimport oleh peladang British untuk bekerja di ladang tebu dan kopi di Seberang Perai. Sistem kangani dikatakan berjaya mengatasi sistem kontrak kerana jangka masanya yang pendek dan dibuat secara lisan. Sekitar tahun 1890-prinsip imigran dari India dan Cina pada dasarnya sama, meskipun syarat-syarat perkhidmatan sangat berbeza dari yang digunakan dengan China.[9]

3.0   PENTADBIRAN TRADISIONAL
            Pemerintahan kolonial bukanlah merujuk kepada suatu sistem pemerintahan sesebuah kerajaan, tetapi ia juga merupakan suatu kuasa perubahan yang telah merubah corak pemerintahan sistem kerajaan, pembangunan ekonomi, masyarakat yang pelbagai kaum, sistem pendidikan dan sistem perundangan  di Tanah Melayu serta menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Ketibaan Francis Light bersama-sama dengan tiga buah kapal di Pulau Pinang pada tahun 1786 merupakan strategi awal British untuk mengawal  aktiviti perdagangan dan menakluki kawasan Semenanjung Tanah Melayu.[10]

            Sistem Residen di Tanah Melayu bermula dengan termeterainya “Perjanjian Pangkor” pada 20 Januari 1874.[11] Perjanjian ini ditandatangani oleh Gabenor Andrew Clark, bersama-sama Sultan Abdullah, beserta pembesar-pembesar negeri.[12] British mula menguasai bidang pentadbiran negeri Perak melalui perjanjian ini. Hal ini demikian kerana antara syarat perjanjian ini ialah “Sultan Perak menerima perlantikan seorang residen dan perlu menurut segala nasihat daripada Residen”.[13] British mula menguasai bidang pentadbiran negeri Perak melalui perjanjian ini.

Hal ini demikian kerana keadaan J.W.W. Birch yang merupakan Residen pertama di Perak merasakan negeri itu tidak membangun dan perlu dimajukan demi kepentingan British.[14] Di Selangor pula, sistem residen yang diperkenalkan diterima dengan baik oleh Sultan Abdul Samad. Residen Selangor yang telah dilantik secara rasminya ialah J.G. Davidson. Manakala jawatan pembantu residen pula diberikan kepada Frank Swettenham.[15] Manakala di Negeri Sembilan pula, sistem residen di negeri itu bermula pada 10 Oktober 1874 apabila Dato’ Kelana Sungai Ujong mengibarkan bendera British di sana. Residen Sungai Ujong yang pertama ialah Isemonger dan penolong residen ialah Kapten Tatham.[16]  

            Antara perubahan yang telah British laksanakan dalam sistem pentadbiran di Tanah Melayu ialah melalui hak memungut cukai. Contohnya di negeri Perak. Birch ingin menguasai hak atau kuasa untuk memungut cukai daripada Sultan dan pembesar-pembesar Perak.[17] Semasa pemerintahan Hugh Law sebagai Residen Perak yang ketiga, beliau telah menguruskan pencen yang akan diberikan kepada pembesar-pembesar yang telah kehilangan hak untuk memungut cukai.[18]

            Selain itu, British telah menghapuskan amalan hamba abdi dalam sistem pentadbiran di Tanah Melayu. Di Perak, Birch cuba untuk menghapuskan amalan menyimpan dan menggunakan hamba abdi dalam kalangan masyarakat Melayu. Malahan beliau pernah memberikan perlindungan kepada beberapa hamba hutang yang telah melarikan diri ke rumahnya dan hamba-hamba hutang ini terdiri daripada hamba hutang perempuan.[19] Pada tahun 1883, Hugh Low berjaya untuk mengatasi masalah hamba abdi dalam kalangan masyarakat Melayu.[20]

            Di samping itu, semasa pemerintahan Hugh Law di Perak, beliau telah menubuhkan sebuah majlis yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli majlis untuk memberikan pendapat atau pandangan tentang pentadbiran negeri. Majlis ini ialah Majlis Mesyuarat Negeri. Hal ini demikian kerana pendapat-pendapat yang diberikan oleh ahli-ahli dapat digunakan untuk memperkemaskan lagi sistem pentadbiran negeri itu.[21] Contohnya di negeri Selangor. Terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan kerabat diraja Selangor apabila Tengku Kudin dilantik menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri Selangor pada tahun 1877. Hal ini demikian kerana pada kebiasaanya, sultan merupakan pengerusi bagi majlis tersebut. Ini menyebabkan Tengku Kudin meletakkan jawatannya pada tahun 1878.[22] Tambahan pula,  Hugh Low telah menubuhkan sebuah pasukan polis. Pasukan polis ini terdiri daripada orang Punjab.[23] Di Selangor, J.G. Davidson turut menubuhkan sebuah pasukan polis.

4.0   PETEMPATAN
Menurut J,S Furnivall masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa yang tinggal di kawasan politik tetapi hidup berbeza disebabkan oleh mereka mengamalkan cara hidup, adat, kepercayaan yang berlainan antara satu sama lain.[24] Masyarakat di Tanah Melayu terdiri daripada kaum yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga kaum ini tidak mengasimilasikan budaya antara satu sama lain. Dasar pecah dan perintah yang dilakukan olah British telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini hidup terpisah antara satu sama lain.

Melalui dasar ini juga British telah menentukan peranan dan kawasan setiap kaum bagi memastikan setiap kaum tidak berinteraksi antara satu sama lain. Bagi memudahkan pentadbirannya, British tidak mahu ketiga-tiga kaum ini bersatu kerana mereka bimbang kaum-kaum ini akan bangun untuk menentang mereka. Kewujudan masyarakat yang majmuk telah menimbulkan pelbagai masalah. Setiap kaum iaitu Melayu, India dan Cina akan mendiami kawasan yang berbeza. Kedatangan buruh secara beramai-ramai telah mewujudkan petempatan yang bercirikan kaum. Petempatan kaum-kaum di Tanah Melayu adalah mengikut kegiatan ekonomi yang dijalankan. Kegiatan ekonomi ini telah ditentukan oleh pihak British. Keadaan ini berlaku kepada kaum Melayu yang merupakan kaum asli di Tanah Melayu, manjoriti masyarakat Melayu menetap di kawasan luar bandar dan menjalankan ekonomi pertanian. Hal ini kerana, masyarakat Melayu begitu terikat dengan sistem ekonomi tradisonal dan mahu mengekalkan penguasaan tanah pertanian malahan mereka tidak mahu mengikut serta dalam usaha untuk membangunkan bandar-bandar moden.[25]
Kebanyakkan orang India akan tinggal di ladang getah dan ladang kelapa. Orang Cina pula tinggal di kawasan lombong, pekan dan bandar. Sementara orang Melayu pula dibiarkan tinggal di kawasan pesisir pantai, kampung dan pedalaman menjadi petani dan nelayan. Kesannya telah timbul masyarakat majmuk iaitu masyarakat yang hidup berkelompok tetapi terasing antara satu sama lain dari segi bahasa, budaya, agama, pekerjaan dan tempat tinggal. Oleh kerana petempatan dan kawasan tumpuan mereka dalah berbeza, maka tidak wujud interaksi antara tiga kaum utama ini. Melalui dasar ini British telah melahirkan perasaan prasangka dan memperkukuh keperibadian setiap kumpulan etnik yang terus menjarakkan jurang perpaduan antara kaum.

5.0   PENGKHUSUSAN PEKERJAAN DAN EKONOMI
Kedatangan kaum India dan China ke Tanah Melayu menyebabkan  Tanah Melayu mempunyai  tiga kaum terbesar. Hal ini yang menyebabkan berlakunya pengkhususan pekerjaan mengikut kaum masing-masing. Impak tersebut berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor.

            Antara pekerjaan yang melibatkan orang-orang Melayu ialah pertanian. Pertanian merupakan aktiviti utama yang melibatkan orang-orang Melayu sepenuhnya.[26] Antara tanaman utama orang Melayu ialah padi.  Tanaman-tanaman lain seperti pisang, tebu dan kelapa turut ditanam oleh orang-rang Melayu. Walaupun aktiviti pertanian telah dilakukan, kedatangan orang-orang Eropah tidak menjejaskan sifat orang-orang Melayu yang gemar memasuki hutan dan mengutip hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh dan damar.[27] Selain pertanian, masyarakat Melayu ketika abad ke-19 turut melakukan beberapa pekerjaan lain seperti menenun kain sutera dan sarung, kegiatan berbentuk pertukangan yang melibatkan penggunaan kayu dan tembaga  bagi penduduk Melayu di negeri Terengganu. Masyarakat Terengganu bersama-sama dengan masyarakat di negeri Kelantan dan Pahang turut melakukan pekerjaan lain seperti membina perahu.

Bagi masyarakat Melayu yang tinggal di pantai Timur, pekerjaan utama mereka lebih terarah kepada pekerjaan sebagai nelayan.[28] Orang Melayu ketika zaman penjajahan turut melakukan aktiviti seperti pengeringan ikan dan memasinkan ikan. Aktiviti tersebut biasanya dilakukan oleh kaum wanita yang dibantu oleh sebilangan  kanak-kanak. Selain itu, kegiatan menternak binatang turut diteruskan sebelum Tanah Melayu dijajah oleh British khususnya. Binatang yang diternak adalah seperti ayam, itik dan lembu. Kegiatan perlombongan turut melibatkan sebilangan kecil orang-orang Melayu.[29]

            Bagi orang Cina pula, mereka lebih mendominasi pekerjaan dalam sektor perlombongan berbanding orang Melayu dan India. Selain faktor modal, sikap penjajah iaitu British yang mengamalkan dasar pecah dan perintah menyebabkan orang Cina begitu sinonim dengan sektor perlombongan. Keadaan tersebut bermula apabila orang Cina yang berhijrah dari negara mereka ke Tanah Melayu hanyalah bekerja sebagai pekerja semata-mata sebelum berubah menjadi pelabur dan pengusaha terhadap hampir kesemua kawasan perlombongan yang ada di Tanah Melayu ketika itu. Hal tersebut turut menyebabkan penguasaan orang-orang Eropah terhadap sektor perlombongan tergugat disebabkan oleh orang Cina mempunyai modal yang lebih banyak dan para pekerjanya yang ramai serta dibayar dengan harga yang lebih murah.[30] Di Kedah, orang Cina mengusahakan tanaman ubi kayu manakala di Terengganu dan Johor pula, mereka mengusahakan tanaman lada hitam.[31] Ini menunjukkan bahawa orang Cina turut melakukan kegiatan yang sama dengan orang-orang Melayu iaitu pertanian.

            Masyarakat India pula lebih sinonim dengan pekerjaan di ladang-ladang.[32] Biasanya, pekerjaan mereka ialah menoreh getah. Di Pulau Pinang pula, masyarakat India bekerja di ladang-ladang pertanian yang mempunyai pelbagai jenis tanaman. Selain itu, terdapat juga sebilangan kecil masyarakat India bekerja sebagai hamba untuk berkhidmat di pelabuhan ataupun untuk berkhidmat kepada orang-orang kaya, lebih-lebih lagi orang Eropah.[33]

6.0   PENDIDIKAN
Pendidikan di Tanah Melayu pada abad ke-19 ini telah dimulakan oleh pihak British semasa menjajah Tanah Melayu secara rasminya pada tahun 1874. Sistem pendidikan yang dibawa oleh pihak British ini telah menggunakan sistem pendidikan mengikut acuan mereka. Apabila British memperkenalkan sistem pecah dan perintah di Tanah Melayu maka pendidikan di Tanah Melayu ini juga telah dibahagikan mengikut struktur tiga kaum yang terbesar di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India.

            Bangsa Melayu pada zaman kolonial ini tidak menitikberatkan tentang soal pendidikan. Hal ini kerana, anak-anak Melayu masih mempunyai perasaan marah terhadap penjajah British. Apabila British memperkenalkan sistem pendidikan mereka untuk orang Melayu tetapi masalahnya pendidikan untuk orang melayu hanyalah bersifat “aristokrat” iaitu untuk anak daripada golongan pembesar sahaja yang dibenarkan untuk mendapat pendidikan. Penjajah British telah menubuhkan empat buah sekolah yang berteraskan empat aliran iaitu aliran Melayu dan aliran Inggieris, aliran Cina dan aliran Tamil.[34]

Sekolah-sekolah aliran Melayu hanya menyediakan pendidikan peringkat rendah berbanding  sekolah aliran Inggeris. Sekolah-sekolah Melayu pada zaman kolonial ini bersifat serba kekurangan. Hal ini kerana, pihak British mahukan dasar pendidikan bagi orang Melayu hanyalah bersifat kekal iaitu dengan mengekalkan cara hidup orang melayu dengan serba kekurangan. Hal ini juga disebabkan oleh sistem ekonomi orang Melayu yang sangat rendah hanya mampu untuk mendapat pendidikan di peringkat rendah sahaja.[35] Apabila pemodenan yang dilakukan oleh pihak British, sebahagian besar masyarakat Melayu tidak berupaya untuk memperbaiki kehidupan meraka dan gagal mengukuhkan sistem ekonomi mereka pada zaman itu.[36]

Bagi masyarakat Cina pula pendidikan pada zaman kolonial ini lebih mengutamakan orang Cina untuk mendapatkan pendidikan. Hal ini kerana, kehidupan orang Cina yang tinggal di bandar-bandar memudahkan mereka untuk mendapatkan pendidikan. Anan-anak orang Cina dimasukan ke sekolah aliran Inggeris dan sekolah aliran Cina. Sekolah-sekolah Cina dan Inggeris ini sebahagian besarnya terletak di kawasan bandar-bandar. Hal ini memudahkan mereka untuk mendapatkan pendidikan kerana mereka juga tinggal di kawasan bandar. Majoriti pelajar di sekolah Inggeris ini tidak kiralah daripada peringkat sekolah rendah mahupun peringkat menengah adalah terdiri daripada anak-anak orang Cina dan India sahaja.

Pihak Inggeris pada zaman kolonial ini lebih mengutamakan kemajuan terhadap sekolah Inggeris dan sekolah Cina. Oleh yang demikian, terdapat juga sekolah-sekolah swasta Cina pada zaman kolonial tersebut. Kemajuan yang terdapat disekolah Cina disebabkan oleh faktor  ekonomi orang cina pada zaman kolonial ini jauh lebih baik berbanding ekonomi orang Melayu. Disebabkkan hal ini telah menjadikan orang Cina lebih maju berbanding orang Melayu.[37]

Sistem pendidikan bagi orang India pula adalah  hampir sama dengan sistem pendidikan orang Cina tertapi bezanya adalah mereka mengunakan sistem aliran Inggeris dan aliran Tamil. Sekolah-sekolah ini wujud untuk memberikan pendidikan kepada kaum India kerana kaum India dikatakan kaum minoriti di Tanah Melayu pada ketika itu. Di sebabkan dasar British yang menggunakan dasar pecah dan perintah, orang India ini ditempatkan di estet tetapi anak-anak orang India masih boleh menerima pendidikan dikawsan bandar.

Sebahagian besar  anak-anak kaum India ini juga mendapat pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat menegah dalam sekolah Inggeris dan juga sekolah Tamil. Hal ini menunjukan sekolah untuk orang India juga lebih maju berbanding sekolah Melayu yang serba kekurangan. Hal ini disebabkan juga faktor ekonomi yang memainkan peranan penting untuk bersaing mendapatkan pendidikan. Oleh sebab dasar kolonial Inggeris juga yang melakukan demikian terhadap orang Melayu adalah bertujuan untuk mengekalkan cara pemikiran orang Melayu ditahap yang rendah supaya orang Melayu tidak akan menentang dasar British sebagai pemerintah di Tanah Melayu.[38]

7.0   KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR SELEPAS KOLONIALISME BRITISH

Penjajahan British telah memberi kesan kepada perkembangan kemudahan infrastruktur di Tanah Melayu . Kemudahan infrastruktur ini memberi kemudahan kepada penduduk Tanah Melayu pada abad ke-19 . Kemudahan infrastruktur yang terbina ialah jalan raya, landasan kereta api, kemudahan kesihatan, dan sekolah –sekolah ditubuhkan. Perkembangan dalam kemudahan infrastruktur ini walaupun dibina atas dasar kebaikan ekonomi untuk pihak British,tetapi juga memberi kemudahan  kepada masyarakat Tanah Melayu juga. Kolonial British turut membawa pembangunan infrastruktur di Tanah Melayu walaupun tidak berlaku secara menyeluruh. Kemasukan pengaruh British pada pertengahan abad ke-19 telah mengubah sistem pengangkutan awam menjadi lebih baik. Sesuai dengan sistem ekonomi kapitalis, usaha penting yang dijalankan ialah membina infrastruktur yang dapat mewujudkan satu sistem perhubungan bagi menghubungkan semua pusat perusahaan bijih timah dengan pelabuhan-pelabuhan yang menjadi pusat pengeksport hasil-hasil bijih timah. Selain dari itu, pihak kolonial juga membina infrastruktur bagi menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pelabuhan-pelabuhan tertentu di Tanah Melayu. [39]

Kemajuan dalam bidang ekonomi secara besar-besaran dengan mendapat modal daripada Britain yang menyebabkan tertubuhnya pentadbiran British di negeri-negeri Perak , Selangor , Sungai Ujong dan Pahang serta seluruh daerah dalam Negeri Sembilan . Kemudahan  Infrastruktur seperti jalan raya dan landasankereta api sangat penting sebaik sahaja pentadbiran British tertubuh di Tanah Melayu.[40]  Perkembangan infrastruktur ini berbeza mengikut negeri-negeri yang bernaung . Negeri – negeri yang paling digemari oleh British ialah tertumpu di negeri Selangor dan Perak .  Kemudahan infrastruktur telah di bina di sekitar kawasan-kawasan perlombongan bagi memudahkan segala proses pengangkutan hasil – hasil perlombongan.[41]

Pada Jun 1885 , landasan kereta api yang pertama telah dibuka di Larut di antara Port Weld dan Taiping untuk memudahkan proses pengangkutan industri timah dan sistem pengangkutan kereta api dibina yang menghubungkan hampir kesemua pusat perusahaan bijih timah di Semenanjung dengan pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Selat Melaka iaitu dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, Seremban ke Port Dickson, Ipoh ke Telok Anson dan Taiping ke Port Weld. Hal ini sekaligus telah meningkatkan sistem kemudahan awam secara keseluruhannya. Kemudahan pengangkutan telah membangunkan sektor ekonomi hingga membawa kepada bertambah bilangan bandar baru yang menjadi pusat pentadbiran, politik, perdagangan dan perusahaan seperti Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, dan Kuching.[42]

Selepas proses kolonialisme , kemudahan infrastruktur yang lain ialah jalan raya telah dibina bagi menuju ke pekan –pekan perlombongan dan kemudian ke kawasan ladang-ladang . Jalan raya yang berturap di bina di kawasan-kawasan pekan-pekan. Pembinaan jalan raya dipertingkatkan pada tahun 1911 iaitu jalan raya dari Seberang Perai ke Melaka telah siap dibina. Pada tahun 1928 pula, Jalan raya menghubungkan Perlis ke Singapura telah disiapkan yang sekaligus mempercepatkan perjalanan di pantai barat. Kemudahan sistem perhubungan yang diwujudkan oleh British telah memberikan keselesaan kepada masyarakat walaupun pada awalnya, kewujudan kemudahan infrastruktur ini adalah demi kepentingan ekonomi pihak British .[43]

Seterusnya , kemudahan infrastruktur yang lain yang ditubuhkan oleh pihak British ialah kemudahan kesihatan dan pusat penyelidikan  .  Salah satu matlamat British setelah kewujudan sistem Residen ialah untuk menubuhkan pusat perubatan dan kemudahan kesihatan kepada penduduk Tanah Melayu . Hospital kerajaan pertama yang dibuka pada tahun 1878 adalah di Taiping . Hospital ini dibina di kawasan bukit yang mana hospital tersebut pada asalnya menempatkan seramai 50 orang pesakit  tetapi pada waktu itu tiada alatan untuk pembedahan dan alatan-alatan yang lain . Hospital kerajaan turut dibina di  Selangor  pada waktu yang sama dan antara kedua-dua hospital ini menunjukkan kemudahan seramai 100 orang pesakit.[44] Pengeluaran negeri Pahang yang kurang tidak akan dapat menyamai dengan Negeri Perak dan Selangor . Hasil percukaian dari bijih timah tidak pernah melebihi sebanyak lima  peratus daripada jumlah keempat-empat Negeri yang bernaung itu , malah tidak pernah mencukupi bagi negeri Pahang itu sendiri  dan untuk dikaitkan dengan kemudahan kesihatan adalah tidak menghairankan apabila hospital yang telah dibuka di Perak sudah mempunyai 15 buah hospital , Selangor sebanyak 14 buah hospital , manakala Pahang hanya mempunyai dua buah hospital sahaja.[45] Selepas melalui zaman sukar sistem Residen , Hospital dapat diuruskan dengan lebih baik dan pada tahun 1880 hubungan antara United Kingdom membolehkan pembantu hospital diimport daripada India dan Ceylon . Selain itu , hospital turut dibuka di Tanjong Malim , Batu Gajah , Gopeng , Krian dan Kuala Kangsar selepas tahun 1884.[46]

            Selain itu , terdapat kemudahan infrastruktur lain seperti kemudahan sistem pendidikan. Di negeri Perak pada tahun 1895 , sebanyak 10 Sekolah Inggeris dibina , 84 sekolah melayu dan dua sekolah tamil dan Sekolah Inggeris yang pertama di bina ialah Penang Free School yang dibina pada ahun 1825.[47]

            Kemudahan Infrastrukur yang diperkenalkan oleh kolonial British ini memberi kesan yang baik kepada masyarakat tempatan. Penubuhan jalan raya dapat memudahkan perhubungan antara satu kawasan dengan kawasan yang lain , landasan kereta api  memudahkan pengangkutan bijih timah ke pelabuhan-pelabuhan tertentu , kemudahan kesihatan dan perubatan pula memudahkan masyarakat mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan kemudahan pendidikan membolehkan masyarakat tempatan pandai membaca dan mengira. Walaupun lebih menyumbang kepada perkembangan ekonomi British , tetapi tetap juga member kemudahan kepada masyarakat tempatan.

8.0   KESIMPULAN
Secara umumya, dengan tementrainya “Perjanjian Pangkor 1874” ini telah membuka peluang kepada pihak British untuk memperluaskan wilayah penguasaanya di kawasan alam Melayu. Dasar-dasar yang dijalankan oleh pihak British terutamanya dalam bidang perlombongan dan perladangan telah mendorong British mendapatkan tenaga kerja dari laur. Lantaran itu, buruh dari China dan India telah berimigran dengan ramainya ke Tanah Melayu sehin gga mewujudkan masyarakat majmuknya. Pihak British walau bagaimanapun telah bertindak penguasai kuasa pemerintahan dan memperkenaalkan Residen mereka sehingga menyebabkan “Raja-Raja Melayu sebagai patung boneka semata-mata”. Tidak dapat disangkalkan lagi, penglibatan British ini turut memberi sinar baharu kepada Tanah Melayu kerana berjaya mendapat pembangunanya. Jelaslah, masyarakat Kolonial pada zaman ini menunjukkan beberapa perkembangan. Namun terdapat juga perkembangan yang menunjukkan unsur negatif dan positif terhadap masyarakat Melayu.