Jumaat, 7 Oktober 2011

KESULTANAN MELAKA: PELUASAN WILAYAH


I.           SUMBER-SUMBER BAGI MEMBINA SEMULA SEJARAH LAMPAU MELAKA
II           TINGKAT PENCAPAIAN PENGARUH POLITIK DAN PERDAGANGAN
MELAKA DI KEPULAUAN MELAYU DAN KAWASAN SEKITAR.
III         MELAKA SEBAGAI PUSAT DIALOG DAN PERTEMBUNGAN PADA ABAD KE-15 DAN KE-16.


KESULTANAN MELAKA: PELUASAN KAWASAN.

Kesultanan Melaka telah diasaskan oleh Parameswara sekitar 1395-1400. Sebelum itu Melaka hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Ibn Batuta yang mengembara ke rantau ini pada 1343 tidak menyebut tentang Melaka, menandakan Melaka ketika belum muncul sebagai tempat persinggahan perkapalan yang penting. Walau bagaimanapun kewujudan Melaka sudah tercatit dalam sebuah sajak Jawa yang dikarang pada 1324 dan Melaka juga tercatat sebagai sebuah kawasan naungan Siam pada tahun 1360. Dapatlah dianggap bahawa Melaka semakin meningkat penting menjelang tahun 1400 kerana tempat itu mendapat perhatian Parameswara apabila beliau terusir dari Tumasik (Singapura) oleh kekuatan kuasa Siam. Kedatangan Parameswara ke Melaka memulakan pertumbuhan gemilang Melaka sebagai pusat kerajaan kesultanan Melayu dan pelabuhan entreport selama kira-kira 110 tahun, iaitu sehingga Melaka dikuasai oleh Portugis pada 1511. Dalam tempoh itu Melaka muncul sebagai pusat kerajaan yang mempunyai kawasan taklukan yang meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) dan di pantai timur Sumatra. Peluasan kawasan takluk membolehkan kerajaan kesultanan Melaka meningkatkan keupayaannya dari segi sumber barangan perdagangan, tenaga kerja dan jaminan keselamatannya. Sebaliknya, kekuatan yang terbina oleh kesultanan Melaka meningkatkan keupayaannya mewujudkan struktur, sistem dan institusi kerajaan, ekonomi dan sosial yang baik, berfungsi dan berkesan sehingga menjadikan Melaka sebagai pentas dialog dan pusat pertembungan yang penting terutamanya pada abad ke-15 dan berterusan albeit beberapa perubahan dan kelainan ketika Melaka dikuasai Portugis pada abad ke-16. Pencapaian baik Melaka dicatatkan oleh Duarte Barbosa (pencatat Portugis), sebagai

“the richest trading port and possesses the most valuable merchandise and the most numerous shipping and extensive traffic that is known in all the world”

Tome Pires di dalam Suma Oriental menyebut Melaka sebagai

“a city that was made for merchandise” [A. Cortessao (tr.), The Suma Oriental of Tome Pires, Hakluyt Society Londom, 1944]


Paul Wheatley merumuskan, zaman kesultanan Melaka sebagai:

“a century of Melaka, the golden age in the Malay history full of achievements and heroic deeds” [P. Wheatley, Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times, Eastern University Press, Singapore, 1964: 141-147].


Sejarah Melayu merakamkan:

“Adapun zaman itu negeri Melaka terlalu sekali ramainya, segala dagang pun berkampung. Maka dari Air Leleh datang ke Kuala Muar pasar tiada berkeputusan lagi, dari Kampong Kling datang ke Kuala Penajeh itupun tiada berkeputusan. Jika orang dari Melaka datang ke Jugra tiada membawa api lagi, barang dimana berhenti di sana adalah rumah orang. Dari sebelah sini hingga datang ke Batu Pahat demikian juga, kerana masa itu rakyat Melaka sembilan belas laksa banyaknya yang di dalam negeri juga”.  [W.G. Shellabear (peny.), Sejarah Melayu, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hal. 183].

Hikayat Hang Tuah memerikan kebesaran Melaka seperti berikut:

“Maka negeri Melaka pun sentosalah, sejok seperti ayer di dalam tanam. Maka segala negeri pada Tanah Melayu itu pun sekaliannya memberi ufti ke Melaka. Maka segala dagang santeri pun banyak datang ke Melaka itu,…”  [Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, DBP, KL., 1968, hal. 395].

[Mohd Taib Osman menyarankan, kaedah penelitian kepada pemerian-pemerian yang begitu mengagungkan Melaka dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, harus dinilaikan dari segi participant’s model dan bukannya dari sudut observer’s view. Ia harus didalami dari sudut-sudut tersurat dan tersirat. (Mohd Taib Osman, “Mythic Elements in Malay Historiography” paper no. 102, IAHA, Kuala Lumpur, 1968, hal. 2-14. Juga Zainal Abidin A. Wahid, “Sejarah Melayu”, Asian Studies, vol. IV, no. 3, December 1966, hal. 445-451)].

Yahaya Abu Bakar melalui kajian beliau terhadap beberapa dokumen asing telah memberi bukti bahawa kegemilangan Melaka memang tersebar luas sejak akhir abad ke-15. Hasil kajian itu dirakamkan di dalam penulisan berjudul “Foreign Documents and the Descriptions of Melaka between A.D. 1505-1511” yang sempena projek UNESCO’s Silk Route Maritime Expedition, Melaka, 5 Januari 1991.

Nama dan kepentingan Melaka terjelma di dalam:

(i)    sumber-sumber China seperti Buku Dinasti Ming Jilid 325, seawal-awal tahun 1403 yang memuatkan diantaranya warkah yang diutus oleh Laksamana Hang Tuah bertarikh 11 April 1480 dan 1481 Masehi. [disebutkan dalam warkah itu tindakan “Lo-his-ma-na menyiasat mengenai kebencanaan kapal Ryukyu di utara Annam dengan menghantar utusan ke sana. Hasil siasatan dimaklumkan dalam warkah ini kepada pemerintah Ryukyu. Laksamana memohon sebilah pedang, pelana kuda dan sejenis alat `pengimbang’ panah. (Lihat, Dokumen no. 10, A. Kobata & M. Matsuda, Ryukyuan Relations with Korea and South Sea Countries, Kawakita Printing Kyoto, Japan, 1969, pp. 119-120, 120-121)
Sumber China juga melaporkan, seorang diplomat bergelar Tuan Hadji diutuskan oleh
Melaka
ke China pada sekitar tahun 1509 Masehi.
Malah tercatat keterangan penghantaran perutusan dari Ryukyu ke Melaka pada 2hb.
September 1509. Perutusan ini diketuai oleh Kamadu, jurubahawa Ko Ken berserta 150
kelasi dan anak kapal

(ii)  sumber Siam (Palatine Law) juga menyebut berkenaan Melaka.

(iii) deskripsi oleh Ahmad Ibn Majid, pelayar agung Arab di penghujung abad ke XV Masehi.

(iv) sumber Portugis:
a.      Selewat-lewat tahun 1498 Masehi, berita mengenai Melaka di ketahui di Portugal. Maklumat ini terkandung dalam laporan yang disunting di dalam tulisan Neves Aguas,  Roteiro Da Primeira Viagem De Vasco, Publicacoes Europa-America, Limitada, Portugal, 1978(?)]. Melaka digambarkan sebagai pelabuhan yang penting memperniagakan bahan-bahan seperti timah, rempah ratus, sutera dan ceramik. Melaka terletak di lokasi empat puluh hari pelayaran dari Calecut jika angin baik. Melaka memiliki 10,000 perajurit, 200 tentera berkuda dan selebihnya tentera berjalan kaki. Di Melaka terdapat cengkeh yang harganya sembilan cruzados bagi setiap bahara, juga pala yang berharga sembilan cruzados sebahara. Dari timah dicipta mata wang berbentuk besar tetapi rendah nilainya, iaitu 3 farazalas = 1 cruzado. Terdapat juga di Melaka banyak burung kakak tua kesemuanya merah dan bersinar-sinar.
Dicatatkan di dalam laporan itu, raja Melaka sebagai beragama Kristian, iaitu satu kenyataan yang jika disengajakan tentulah dengan motif tertentu. Walau bagaimanapun kenyataan itu dibuktikan sebaliknya oleh Commentaries, Suma Oriental dan lain-lain yang mengakui kedudukan Islam di Melaka, di mana Al-Quran dan para ulama dipandang tinggi.
b.     Kegemilangan Melaka semakin jelas di Portugal sehingga Raja Portugal mengeluarkan
arahan (regimento) bertarikh 5hb. Mac 1505 kepada Almeida, wizurai pertama
Portugis di India untuk “mencari Melaka”.  Raja Portugal (King Manuel)
mengeluarkan satu lagi regimento pada 6hb. April 1506 meminta supaya
keterangan yang lebih terperinci tentang Melaka. Minat Portugis terhadap
Melaka semakin nyata sesudah diplomat Itali, Vincenzo Quirini
memperihalkan kemakmuran Melaka dan menyebutkan bahwa emas banyak
terdapat di sana. Hasil dari regimento 6hb. April 1506, wizurai Almeida (di
India) memaklumkan kepada rajanya tentang pedagang-pedagang Islam yang
membawa rempah ratus dari Melaka untuk diperdagangkan ke Eropah melalui
Venice. Menurut pandangan
Almeida, Portugis akan kerugian besar sekiranya sekatan tidak dikenakan
kepada kegiatan para pedagang Islam itu.
c.      Dari koleksi “MacGregor Papers (tersimpan di National University of Singapore),
ditemui surat-surat milik Antonio de Saldanha bertarikh sejak 1506-1507
Masehi memerihalkan tentang kekayaan emas yang diperdagangkan di
Melaka. Selain itu ada khabar kononnya di antara Melaka dengan China
terdapat sebuah negara yang penganut-penganutnya adalah Kristian.
d.     Varthema yang mengunjungi Melaka (1506 Masehi) menyebut bahawa ia percaya
di Melaka lebih banyak kapal berlabuh dari mana-mana tempat lain di dunia.
sini juga menurutnya kepelbagaian barangan terutamanya sutera dan rempah ratus diperdagangkan.
e.      Aroujo yang menulis dari Melaka pada 6 Februari 1510 menyebut, setiap hari
terdapat antara 90 hingga 100 funcos kecil dan besar berserta 150 praos berlabuh di Melaka. Diketahui menurutnya, bahawa lebih kurang 30 jong dan perahu-perahu lain dimiliki oleh raja, pembesar dan pedagang-pedagang tempatan.

Malah sehingga abad ke-17, kedudukan Melaka masih baik seperti digambarkan oleh catatan Francois Valentijn (pencatat Belanda) yang mengatakan masih banyak kapal yang datang ke Selat Melaka terutamanya dari Benggala, Coromandel, Surat, Parsi, Ceylon, Jawa, Sumatra, Siam, Tonkin dan China.


I.         SUMBER-SUMBER BAGI MEMBINA SEMULA SEJARAH LAMPAU MELAKA.

Sejarah kegemilangan Melaka dicatatkan oleh rekod-rekod China dan sumber sejarah Barat, Arab dan Melayu. Malah bukti-bukti kegemilangan Melaka itu dapat diteliti dari unsur-unsur politik, sosial dan perundangan Melayu tradisional yang menerima peradapan pesaka kesultanan Melaka.

a. Sumber Barat terutamanya Portugis dihasilkan oleh Tome Pires (berjudul The Suma Oriental), Alfonso de Alburquerque (diberi judul The Commentaries of the Great Alfonso D’alboquerque, Second Viceroy of India, yang diselanggarakan penerbitannya oleh Walter de Gray Birch),  De Eredia, Joao de Barros (yang menghasilkan siri pertama dari empat buku penulisannya tentang sejarah Asia pada tahun 1552.  Usaha de Barros diteruskan oleh Diogo de Couto yang mengkaji sejarah Asia sehingga akhir abad ke-16. Karya de Barros kemudiannya diselenggarakan oleh H. Cicades & M. Murais dan diterbitkan pada 1945-6 dalam Asia de Joao de Barros  -  juga terkarang dalam empat jilid), Fernao Lopes de Castanheda (sezaman dengan de Barros), de Diogo de Couto, Duarte Barbosa; dan de Correa (yang tercatat dalam Lendas da India).

Sumber Barat/Portugis itu di hasilkan setelah kesultanan Melaka tidak lagi berkuasa di Melaka. Oleh itu sumber-sumber itu tidaklah benar-benar bersifat kontemporari dan catatan-catatan berkenaan kesultanan Melaka di dalam sumber-sumber itu adalah dari keterangan-keterangan lisan, tulisan-tulisan pencatat lebih awal dan juga bukti-bukti tinggalan sejarah kesultanan itu. Contohnya, surat-surat Alfonso de Alboquerque (panglima Portugis yang menakluk Melaka) yang dihantar kepada Raja Manuel mengandungi catatan tentang Melaka, menjadi sumber kepada penulisan anaknya, Bras de Albuquerque (1557) .

Sumber-sumber itu telah dirujuk oleh para pengkaji sejarah Melaka seperti Ian MacGregor (yang pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada 1950-an, tetapi meninggal dunia di Afrika sebelum berusia 30 tahun) yang memberi tumpuan kepada zaman Portugis di Melaka; C.R. Boxer, C.H. Wake, Diane Lewis, O.W. Wolters, Andaya dan lain-lain lagi. C.H. Wake  merujuk sumber-sumber ini bagi menghasilkan karya “Malacca’s Early Kings and the Reception of Islam” (terbit dalam Journal of Southeast Asian History, vol. 5, part 2, 1964) dan “Melaka in the fifteenth century: Malay Historical Traditions and the Politics of Islamization” (dimuatkan dalam Melaka: The Transformation of a Malay Capital, cir 1400-1980, yang disunting oleh Kernial Singh Sandhu & Paul Wheatley, dan diterbitkan oleh Oxford University Press pada 1983). Manakala Diane Lewis menggunakan sumber-sumber itu bagi menulis “The Dutch East India Company and the Straits of Malacca, 1700-1784”.

b.  Sumber China.

Hubungan China-Melaka terjalin sejak awal kebangkitan kesultanan Melaka. Kajian Professor Wang Gungwu ke atas sumber China menghasilkan bukti bahawa pada 1403 Maharaja Yung-lo telah “...sent the eunuch Yin Ch’ing and others with imperial messages to the kingdom of Malacca and Cochin and also with gifts...”. Sumber China (rekod-rekod dinasti Ming) berkaitan Melaka walau bagaimanapun terhad kepada tiga dekad pertama abad ke-15. Selepas kematian Maharaja Hsuan-te, China tidak berminat lagi untuk berhubung dengan negeri-negeri Asia Tenggara, maka catatan China tentang Melaka juga tamat. Namun demikian, sepanjang hubungan yang terjalin antara China dengan Melaka, beberapa lagi perutusan China dihantar ke Melaka termasuk perutusan Laksamana Cheng-ho. Melaka juga menghantar perutusan di samping kunjungan berturutan tiga orang raja Melaka ke China. Hubungan yang rapat itu ditandai dengan baik oleh puteri Hang Li-po dengan raja Melaka.
Sumber-sumber China berkaitan dengan Kepulauan Melayu (termasuk Melaka) telah mula dikaji pada oleh Rockhill yang menerbitkan hasil kajiannya terhadap sumber China di dalam Toung Pau. Usaha Rockhill diikuti oleh Willem P. Groeneveldt yang menulis sekurang-kurangnya tiga rencana (pertalian kegiatan perdagangan China dengan Gugusan Kepulauan Melayu. Sebuah daripada rencana itu berjudul “Notes on the Malay Archipelago and Malacca, compiled from Chinese Sources” diterbitkan dalam VBG (Venhandelingen van het Bataviaasch Genootschap van Kunsten en Wetenschappen”, vol. 39, Batavia 1880  [diterbit semula dengan judul “Historical Notes on Indonesia and Malaya, compiled from Chinese Sources” oleh C.V. Bhratara, Jakarta, pada tahun 1960]. Antara sumber yang dirujuk oleh Groeneveldt ialah (I) The Twenty-four Historians yang juga dikenali sebagai Sejarah Dinasti (the Dynastic Histories) yang terdiri dari kira-kira 900 jilid besar. (II) Ying-yai Sheng-lan (General Account of the shores of the Ocean) yang diterbitkan pada 1416 oleh Ma Huan. Di dalam prakata bukunya, Ma Huan menyebut bahawa beliau dihantar bersama Laksamana Cheng Ho mengunjungi negara luar pada 1413 kerana Ma Huan boleh menterjemah buku asing. Di dalam prakata kedua (yang ditulis oleh seorang sahabat Ma Huan) disebutkan bahawa Ma Huan ialah seorang Muslim dan tahu bahasa Arab. (III) Hsing-ch’a Sheng-lan (General Account of Peregrinations at Sea) diterbitkan pada 1436 oleh Fei Hsin yang berasal dari Hang-chou dan bekerja dengan kerajaan. Selama 20 tahun perkhidmatannya Fei Hsin dihantar sebanyak empat kali menyertai pelayaran angkatan Cheng Ho. (IV) Hai Yu (Words about the Sea) oleh Hwang Chung yang diterbitkan pada 1537. Seperti digambarkan oleh judul buku ini “Words...” maka kebanyakan catatan itu merupakan hasil khabar atau cerita yang disampaikan oleh para pedagang yang pernah mengunjungi tempat-tempat di Kepulauan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana ketika ini kerajaan China menutup hubungan dengan Kepulauan Melayu. (V) Tung Hsi Yang K’au (Researches on the Eastern and Western Ocean) diterbitkan pada 1618 oleh Wang Ch’i-tsung, Penguasa Hasil di Nanking. Buku ini sebenarnya banyak mendapat keterangan dari sumber-sumber yang terdahulu darinya dan lebih menumpukan perhatian kepada deskripsi sejarah dan geografi Semenanjung Tanah Melayu, Filipina dan Farmosa.
Usaha Groeneveldt diteruskan oleh Professor Hsu Yun-tsio, Wang Gungwu dan beberapa lagi  kemudiannya termasuk para pengkaji China sendiri. Wang Gungwu misalnya menghasilkan antaranya rencana berjudul “The Opening of Relations between China and Malacca 1403-1405” (diterbitkan dalam Malayan and Indonesian Studies atas usaha suntingan John Bastin & R. Roolvink, pada tahun 1964).
c.   Sumber Melayu.
Terdapat empat sumber rujukan utama iaitu:
-           Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)
-           Hikayat Hang Tuah
-           Teks Undang-undang Melaka (Hukum Kanun Melaka)
-           Teks Undang-undang Laut Melaka (Undang-undang Pebian Melaka).

Sejarah Melayu.
Buku ini merupakan magnum opus (karya agung) Melayu yang dihasilkan pada 1536. Karya ini merupakan resensi terawal dan pertama  wujud yang memperkatakan secara naratif dan secara berhikayat tentang sejarah sebuah kerajaan/kesultanan Melayu. Buku ini telah kemudiannya ditulis dalam berbagai bahasa seperti bahasa Melayu-Indonesia, Inggeris, Portugis, Belanda, Peranchis, Cina, Tamil, Jepun, Polish dan Rusia - kebanyakannya menjadikan buku ini sebagai bahan penelitian genre linguistik, bukannya penelitian sejarah. Sehingga kini terdapat 29 buah naskah salinan Sejarah Melayu yang terdiri daripada pelbagai versi. Perbezaan antara versi banyak dari segi isi dan kandungan dalam ruang lingkup (skop) ilmu filologi (makna perkataan/bahasa) - misalnya institusi Laksamana: mengikut satu versi, institusi ini wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah (Raja Kecil Besar), manakala versi lain dikatakan institusi itu wujud ketika zaman Sultan Mansur Syah. Berlakunya perbezaan waktu kewujudan institusi ini antara versi Sejarah Melayu berpunca dari inferen perkataan (kata bahasa) yang merujuk kepada institusi tersebut. Contoh lain ialah berhubung dengan perkataan Hang Tuah. Menurut satu versi, Hang Tuah berasal dari Duyung, manakala versi lain mengatakan Hang Tuah berasal dari Bugis atau Sulawesi. Ada pula versi yang tidak menyebut apa-apa tentang asal Hang Tuah.
Versi utama ialah versi Raffles Ms 18 (Manuskrip No. 18, Raffles) yang diselenggara penerbitannya leh R.O. Winstedt. Versi ini dianggap sebagai versi salinan yang lebih tulin daripada versi-versi lain. Versi yang popular ialah Versi tahun 1612 yang diselenggarakan kemudiannya oleh W.G. Shellabear, tetapi dianggap mempunyai kelainan daripada versi Raffles kerana telah “diperbaiki semula” salinannya dari teks awal.
Hikayat Hang Tuah.
Hikayat ini ditulis beberapa abad selepas kejatuhan Melaka. Teks ini merupakan hasil kreatif sejarah yang menghilangkan objektiviti sejarah kerana melibatkan mitos dan legenda - sehingga menjadikannya sebuah teks epik (epik sejarah). Hikayat Hang Tuah menceritakan tentang orang-orang istimewa yang datang dari Pahang, Lingga dan Brunei dan menonjolkan konsep kebal. Tome Pires, Alfonso de Albuquerque, de Barros dan de Eredia menyebut orang-orang itu sebagai The Cabaees.
Teks Undang-undang Melaka.
Teks ini seperti teks Undang-undang Laut mengandungi huraian yang agak komprehensif tentang kehidupan di Melaka pada abad ke-15. Teks Undang-undang Melaka dapat mengambarkan dengan agak jelas tentang kedudukan masyarakat pertanian. Terdapat di dalam Undang-undang itu keterangan berhubung dengan keperluan memagar kerbau, lembu dan kambing supaya peliharaan itu tidak merosakkan tanaman padi dan kebun. Teks itu juga menghuraikan peraturan dan kedudukan (status) hamba yang menunjukkan bahawa para hamba juga mempunyai hak tertentu - tidaklah seperti tanggapan popular yang mengatakan para hamba dilayan atau diiktiraf sebagai harta milik yang boleh diperniagakan.
Teks ini telah diselenggarakan untuk penerbitan pada mulanya oleh Ph. S. von Ronkel dengan judul “Risalat Hoekoem Kanoen, iaitu Oendang-oendang Melaka (dicetak di Leiden pada 1919). Teks ini dihurai dengan kritis oleh Liaw Yock Fang di dalam karyanya yang juga memakai judul “Undang-Undang Melaka”/The Law of Malacca (diterbit di The Hague, pada 1976)

Undang-undang Melaka mempunyai 44 bab dan menghuraikan skop jurisdiksinya ke atas kesemua tanah besar (luas) kepunyaan raja dan wakil raja (pembesar), serta adat yang digunakan ke atas tanah, kawasan dan kampung yang bebas. Undang-undang ini juga menerangkan tentang tanggungjawab pemerintah dan para pembesarnya, larangan-larangan yang dikenakan kepada ahli komuniti, hukuman kepada jenayah dan kesalahan sivil, peratura/hukum keluarga dan lain-lain hal.

Seperti teks Undang-undang Laut Melaka, teks Undang-undang Melaka juga diasaskan kepada adat Temenggong (adat yang mengutamakan nasab bapa atau patriarchal law
Teks Undang-undang Laut (Undang-undang Pebian Melaka).
Teks ini telah diedit oleh R.O. Winstedt dan Josselin de Jong dengan memakai judul “The Maritime Laws of Malacca” yang diterbitkan dalam Journal of Malayan Branch of Royal Asiatic Society (JMBRAS), jilid 29, bahagian 3, tahun 1956. Undang-undang ini menerangkan tentang kuasa nakhoda atau kapten kapal dan hak-hak anak-anak kapal, peraturan-peraturan perkapalan dan perdagangan di laut serta hubungan antara para pedagang.

1 ulasan:

  1. Ahmad ibn Majid about the customs of Muslims in Malacca

    http://books.google.com.my/books?id=wQTQAgAAQBAJ&pg=PA104&dq=marco+polo+malacca&hl=en&sa=X&ei=gwN1VKPhCI6DuwTV0IKoCw&ved=0CCgQ6AEwADgK#v=onepage&q=marco%20polo%20malacca&f=false

    BalasPadam